Friday, December 18, 2009

SALAM MA'AL HIJRAH

Hari ini (1hb Muharam 1431H), adalah hari ulangtahun berlakunya peristiwa hijrah 1431 tahun yang lalu. Peristiwa besar ini merupakan titik permulaan untuk fasa kedua perkembangan agama Islam yang dibawa oleh junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Setelah bergelumang dengan berbagai-bagai kesulitan dan penderitaan dalam menyebarkan ajaran Islam di Mekah selama 13 tahun (fasa pertama), hijrah nabi dan para sahabatnya telah mengeluarkan mereka daripada kebuntuan gerakan dakwah dan ancaman untuk menghapuskan Islam. Setelah berhijrah, nabi telah mendapat kuasa politik dan memimpin sebuah negara Islam yang menuju ke arah kesejahteraan sehinggalah kita yang berada di timur jauh mendapat cahaya dan memperolehi nikmat Islam .
Inilah yang kita harus kenangkan dan bermuhasabah, kerana nikmat yang ada pada kita ini adalah terlalu besar. Kita telah dilahirkan sebagai seorang muslim dan berada di sebuah negara yang majoritinya orang Islam. Kita boleh melaksanakan amalan Islam tanpa halangan yang besar. Namun masih ada lagi tugas yang perlu diselesaikan selagi ada kehidupan iaitu memimpin masyarakat Malaysia kearah melaksanakan sepenuhnya syariat Allah di dalam segala aspek kehidupan. Penyertaan kita di dalam gerakan Islam seperti Parti Islam SeMalaysia adalah satu daripada tugas seorang muslim dalam menegakkan agama Allah. Kita dipimpin oleh ulama' yang bertanggungjawab dan hanya bekerja untuk mendapat keredaan Allah. Kita harus patuh dan wala' setelah kita menyertai dan seterusnya beristiqamah dengan kerja-kerja jemaah.
Pada hari ini marilah kita bermuhasabah kembali mengapa kita berada di dalam sebuah jamaah Islam. Kita menyertai PAS kerana gerakan Islam ini ingin melaksanakan sebuah pemerintahan yang mengikut syariat Islam. Oleh yang demikian kita perlu melaksanakan Islam di dalam diri, keluarga dan masyarakat setempat terlebih dahulu. Dengan kuasa yang ada sedikit ini (Majlis Agama Islam/JKKK) kita mempunyai ruang untuk melakukan tugas dakwah dan memimpin masyarakat untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Marilah kita membina kekuatan dengan menambahkan ilmu dan amal kebajikan supaya kita menjadi golongan yang berjaya di dunia dan akhirat. Selamat menyambut Ma'al Hijrah.

No comments:

Post a Comment