Saturday, August 21, 2010

PUNCA KELEMAHAN UMAT ISLAM

Apakah yang menyebabkan umat Islam menjadi lemah hari ini sedangkan Islam adalah agama yang benar dan dapat memberikan kekuatan sebagaimana yang telah ditempuhi oleh Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya?. Sebelum orang-orang Arab memeluk agama Islam, mereka adalah satu umat yang lemah, suka bergaduh sesama sendiri dan sentiasa berpecah belah. Setelah nabi diutuskan dan banga Arab ini ditarbiyyah dengan ajaran Islam, mereka menjadi umat yang kuat dan mampu menguasai dunia. Walaubagaimanapun, setelah sekian lama berlalu, ajaran Islam yang dipegang semakin lama semakin renggang. Umat Islam menjadi lemah dan kekuatan mereka tidak lagi digeruni. Satu demi satu kerajaan Islam di seluruh dunia runtuh dan digantikan dengan kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang cenderung kepada negara barat walaupun mereka beragama Islam.

Sekarang umat Islam berpecahbelah disana sini dengan membentuk negara masing-masing mengikut ideologi barat samada yang pro kapitalis atau sosialis. Kesatuan umat Islam tidak lagi wujud kerana dihalang oleh kepentingan negara masing-masing. Oleh sebab itu, jika sesebuah negara Islam diserang oleh kuasa mustakbirin, negara-negara Islam yang lain hanya mampu menyatakan bantahan dan tidak terdaya untuk membantu dari segi pertahanan. Akhirnya negara yang diserang itu hancur dan ditadbir oleh pemimpin-peminpin boneka yang mengikut telunjuk penjajah seperti yang berlaku kepada Afghanistan dan Iraq sekarang.

Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu kepada sahabat-sahabatnya bahawa suatu masa nanti umat Islam akan menjadi lemah dan tidak mampu untuk melawan orang-orang kafir yang menzalimi mereka walaupun bilangan orang Islam ketika itu ramai. Mereka diibaratkan seperti buih di lautan yang mudah ditiup kemana-mana. Sahabat-sahabat bertanya apakah yang menyebabkan orang-orang Islam ketika itu menjadi sangat lemah. Rasulullah s.a.w. menyatakan puncanya ialah umat Islam mencintai dunia dan takutkan mati.

Apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. itu memang benar dan telah menjadi kenyataan di depan mata kita.

Kebanyakan negara-negara Islam mempunyai sumber-sumber ekonomi yang mewah seperti petroleum, bahan-bahan galian dan hasil pertanian, tetapi ia tidak diuruskan dengan sebaik-baiknya dan banyak terlepas ke negara-negara barat seperti Amerika (petroleum). Kekayaan yang diperolehi pula tidak digunakan untuk membasmi kemiskinan dengan sebaik-baiknya dan membangunkan prasarana pendidikan dan pembangunan insaniah dengan bessungguh-sungguh, tetapi digunakan untuk membina istana-istana mewah, berpesta dan berseronok. Di Iraq, sebelum diserang oleh Amerika, pemimpin-pemimpinnya memiliki istana-istana yang mewah di setiap bandar sedangkan ramai rakyatnya hidup dalam kemiskinan. Apakah serangan Amerika terhadap Iraq beberapa tahun yang lalu merupakan suatu bala dari Allah yang menimpa umat Islam di atas sikap mereka yang mencintai dunia?.

"Berapa banyak penduduk negeri yang telah Kami binasakan kerana mereka zalim, atap negerinya diruntuhkan, beberapa sumur dibiarkan dan istana mewah ditinggalkan" (al-Haj:45).

Kita bimbang umat Islam di seluruh dunia terpengaruh dengan keseronokan dunia dan tenggelam dengan kemewahan sehingga melupakan tanggungjawab mereka yang sebenar iaitu sebagai hamba Allah dan seterusnya menjadi umat contoh.

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (supaya) kamu menyuruh berbuat maaruf dan melarang kemungkaran, serta beriman kepada Allah". (Ali-Imran:110).

Marilah kita bersama-sama menghayati Islam yang sebenar di dalam bulan Ramadhan ini dan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah wajib dan sunat supaya kia boleh menjadi umat yang kuat dan bebas daripada hubbud dunia (cinta kepada dunia). Ramadhan al-Mubarak.

No comments:

Post a Comment