Friday, January 1, 2010

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2010

Assalamualaikum Wrt. Wbt.

Hari ini bermulalah satu lagi lembaran hidup manusia iaitu ketibaan tahun baru masihi 2010. Ramai yang ingin memperbaharui tekad dan keazaman dalam tahun baru ini untuk mencapai matlamat hidup masing-masing. Bagi kita pejuang Islam, matlamat kehidupan tetap sama sampai bila-bila tetapi peningkatan amal dan keikhlasan perlu diusahakan lagi dari masa ke semasa. Tahun 2009 telah meninggalkan kita dan terdapat beberapa pencapaian yang membanggakan sepanjang tahun yang lalu. Yang terutama sekali ialah kejayaan di dalam pilihanraya kecil N.11 Permatang Pasir dimana PAS cawangan Sg Semambu berada di dalam kawasan DUN ini. Kita telah berjaya mempertahankan kerusi DUN ini yang telah dipegang selama 3 penggal. Tahniah kepada semua para petugas dari cawangan ini yang telah banyak berkorban harta, tenaga dan masa semata-mata untuk mengekalkan kerusi ini di tangan calon PAS. Kemenangan ini sangat bermakna kerana ia masih mengekalkan momentum kejayaan pilihanraya umum 2008. Semangat dan sokongan masih lagi kekal setelah dua tahun berlalu. Kejayaan ini juga mendapat perhatian daripada pengkaji dan pemerhati politik, apakah rahsia yang membolehkan PAS mendapat majoriti yang besar berbanding dengan pilihanraya kecil di tempat lain yang kesemuanya menang dengan majoriti yang tipis. Sebuah badan pengkaji politik sedang membuat kajian tentang perkara ini dan mereka telah melakukan soal selidik kepada semua petugas pilihanraya di DUN Permatang Pasir termasuk di cawangan Sg Semambu. Mereka ingin jawapan yang tepat apakah faktor-faktor yang membuatkan kemenangan besar ini terus berkekalan. Apakah kerana faktor jentera pilihanraya atau ahli-ahli yang komited atau pengaruh Anwar Ibrahim masih kuat atau kerana faktor lain yang masih belum dikenalpasti. Inilah keunikan yang berlaku di DUN Permatang Pasir, Parlimen Permatang Pauh.
Walau apapun sebab musabab kemenangan ini, semuanya datang dari Allah S.W.T. kerana Dialah yang menganugerahkan semua kemenangan perjuangan Islam. Kita menerima anugerah ini dengan penuh rasa syukur dan tawadu'. Janganlah kita terleka dan merasa besar diri di atas nikmat ini kerana ia mungkin akan ditarik balik. Oleh kerana kita telah mendapat sokongan dengan majoriti yang besar, kita janganlah mendabik dada. Ingatlah peristiwa perang Hunain, di zaman rasulullah s.a.w.,
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (mencapai kemenangan) dalam banyak medan-medan peperangan dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab jumlah bilangan kamu yang ramai, maka jumlah yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat ketenteraman kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyiksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran), dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir". (At-Taubat:25-26).
Peristiwa perang Hunain berlaku selepas pembukaan kota Mekah dan di kala itu jumlah orang Islam telah menjadi semakin ramai. Sebelum pertempuran bermula, tentera Islam merasa yakin untuk menang setelah melihat bilangan musuh terlalu sedikit. Mereka telah membicarakan soal harta ghanimah dan memperlekehkan kekuatan musuh. Apabila pertempuran berlaku, tentera musuh telah membuat kejutan dengan menewaskan barisan hadapan tentera Islam dan mereka terpaksa berundur. Keadaan telah menjadi kucar kacir. Kemudian Allah memberikan ketenangan kepada Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya dan memberikan semangat jihad yang sebenar kepada mereka. Akhirnya setelah tersedar dengan kesilapan di peringkat awal, tentera Islam terus menggempur musuh dan mencapai kemangan dengan pertolongan tentera Malaikat.
Peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita supaya sentiasa bersifat tawadu' walaupun berada di dalam zon kemenangan. Program-program jamaah perlu dijalankan seperti biasa khususnya tarbiyyah dan kebajikan. Persiapan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang perlu digerakkan dan kerjasama hendaklah diberikan kepada PAS Kawasan dan MTD Permatang Pasir yang akan beroperasi pada awal tahun ini, insyaAllah. Firman Allah dalam surah al-Insyirah,
"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal yang lain). Dan kepada tuhanmu hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)". (Al-Insyirah:7-8).
Sekian. Selamat tahun baru.

No comments:

Post a Comment