Friday, February 19, 2010

MESYUARAT AGUNG PAS SG SEMAMBU KE 25

Mesyuarat Agung PAS Cawangan Sg Semambu Yang Ke 25 akan diadakan pada hari Sabtu, 27hb Februari 2010, pukul 9.30 malam di PASTI Sg Semmbu. Semua ahli PAS cawangan ini diwajibkan hadir.
Agenda mesyuarat:
1. Mengesahkan Minit Mesyuarat Agung Yang Ke 24.
2. Membentang Dan Menerima Laporan Tahunan Untuk Sessi 2009/2010.
3. Membentang Dan Menerima Laporan Kewangan Yang Berakhir Pada 31hb Disember 2009.
4. Melantik 5 Orang Perwakilan Ke Mesyuarat Agung PAS Kawasan Permatang Pauh.
5. Membahas Usul-Usul.
6. Ucapan Penangguhan.
Setiausaha

Friday, February 12, 2010

PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PAS CAWANGAN









Majlis perasmian mesyuarat agung PAS cawangan-cawangan bagi kawasan Permatang Pauh secara kelompok. Majlis ini diadakan di Dewan Haji Yusuf Rawa, Sama Gagah bermula pukul 9.30 malam dan dirasmikan oleh YB Ust Firdaus Jaafar, ahli parlimen Jerai, Kedah.

USRAH GABUNGAN




Usrah gabungan telah diadakan malam tadi (Khamis malam Jumaat), bertempat di Markas PAS Kubang Ulu. Usrah ini dipimpin oleh Ust Badrul Abd Rahman. Usrah pada kali ini membincang mengenai tanggungjawab ahli PAS dalam memelihara jamaah.

Thursday, February 4, 2010

MESYUARAT PAS CAWANGAN YANG KEENAM

Malam ini akan diadakan mesyuarat Jawatankuasa PAS Cawangan Sg Semambu Kali Yang Ke 6 bagi sessi 2009/2010. Ini merupakan mesyuarat yang terakhir bagi sessi ini. Selepas ini akan diadakan mesyuarat agung tahunan iaitu pada hujung bulan Februari ini. Tarikh mesyuarat agung ini akan ditetapkan pada mesyuarat malam ini.

Friday, January 1, 2010

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2010

Assalamualaikum Wrt. Wbt.

Hari ini bermulalah satu lagi lembaran hidup manusia iaitu ketibaan tahun baru masihi 2010. Ramai yang ingin memperbaharui tekad dan keazaman dalam tahun baru ini untuk mencapai matlamat hidup masing-masing. Bagi kita pejuang Islam, matlamat kehidupan tetap sama sampai bila-bila tetapi peningkatan amal dan keikhlasan perlu diusahakan lagi dari masa ke semasa. Tahun 2009 telah meninggalkan kita dan terdapat beberapa pencapaian yang membanggakan sepanjang tahun yang lalu. Yang terutama sekali ialah kejayaan di dalam pilihanraya kecil N.11 Permatang Pasir dimana PAS cawangan Sg Semambu berada di dalam kawasan DUN ini. Kita telah berjaya mempertahankan kerusi DUN ini yang telah dipegang selama 3 penggal. Tahniah kepada semua para petugas dari cawangan ini yang telah banyak berkorban harta, tenaga dan masa semata-mata untuk mengekalkan kerusi ini di tangan calon PAS. Kemenangan ini sangat bermakna kerana ia masih mengekalkan momentum kejayaan pilihanraya umum 2008. Semangat dan sokongan masih lagi kekal setelah dua tahun berlalu. Kejayaan ini juga mendapat perhatian daripada pengkaji dan pemerhati politik, apakah rahsia yang membolehkan PAS mendapat majoriti yang besar berbanding dengan pilihanraya kecil di tempat lain yang kesemuanya menang dengan majoriti yang tipis. Sebuah badan pengkaji politik sedang membuat kajian tentang perkara ini dan mereka telah melakukan soal selidik kepada semua petugas pilihanraya di DUN Permatang Pasir termasuk di cawangan Sg Semambu. Mereka ingin jawapan yang tepat apakah faktor-faktor yang membuatkan kemenangan besar ini terus berkekalan. Apakah kerana faktor jentera pilihanraya atau ahli-ahli yang komited atau pengaruh Anwar Ibrahim masih kuat atau kerana faktor lain yang masih belum dikenalpasti. Inilah keunikan yang berlaku di DUN Permatang Pasir, Parlimen Permatang Pauh.
Walau apapun sebab musabab kemenangan ini, semuanya datang dari Allah S.W.T. kerana Dialah yang menganugerahkan semua kemenangan perjuangan Islam. Kita menerima anugerah ini dengan penuh rasa syukur dan tawadu'. Janganlah kita terleka dan merasa besar diri di atas nikmat ini kerana ia mungkin akan ditarik balik. Oleh kerana kita telah mendapat sokongan dengan majoriti yang besar, kita janganlah mendabik dada. Ingatlah peristiwa perang Hunain, di zaman rasulullah s.a.w.,
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (mencapai kemenangan) dalam banyak medan-medan peperangan dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab jumlah bilangan kamu yang ramai, maka jumlah yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat ketenteraman kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyiksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran), dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir". (At-Taubat:25-26).
Peristiwa perang Hunain berlaku selepas pembukaan kota Mekah dan di kala itu jumlah orang Islam telah menjadi semakin ramai. Sebelum pertempuran bermula, tentera Islam merasa yakin untuk menang setelah melihat bilangan musuh terlalu sedikit. Mereka telah membicarakan soal harta ghanimah dan memperlekehkan kekuatan musuh. Apabila pertempuran berlaku, tentera musuh telah membuat kejutan dengan menewaskan barisan hadapan tentera Islam dan mereka terpaksa berundur. Keadaan telah menjadi kucar kacir. Kemudian Allah memberikan ketenangan kepada Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya dan memberikan semangat jihad yang sebenar kepada mereka. Akhirnya setelah tersedar dengan kesilapan di peringkat awal, tentera Islam terus menggempur musuh dan mencapai kemangan dengan pertolongan tentera Malaikat.
Peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita supaya sentiasa bersifat tawadu' walaupun berada di dalam zon kemenangan. Program-program jamaah perlu dijalankan seperti biasa khususnya tarbiyyah dan kebajikan. Persiapan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang perlu digerakkan dan kerjasama hendaklah diberikan kepada PAS Kawasan dan MTD Permatang Pasir yang akan beroperasi pada awal tahun ini, insyaAllah. Firman Allah dalam surah al-Insyirah,
"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal yang lain). Dan kepada tuhanmu hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)". (Al-Insyirah:7-8).
Sekian. Selamat tahun baru.

Sunday, December 20, 2009

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN KELENGKAPAN SEKOLAH

Hari ini telah diadakan Majlis Penyerahan Bantuan Kelengkapan Sekolah kepada murid-murid yang terpilih termasuklah 25 orang dari Sg Semambu. Majlis ini diadakan di Pejabat DUN Permatang Pasir

Friday, December 18, 2009

SALAM MA'AL HIJRAH

Hari ini (1hb Muharam 1431H), adalah hari ulangtahun berlakunya peristiwa hijrah 1431 tahun yang lalu. Peristiwa besar ini merupakan titik permulaan untuk fasa kedua perkembangan agama Islam yang dibawa oleh junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Setelah bergelumang dengan berbagai-bagai kesulitan dan penderitaan dalam menyebarkan ajaran Islam di Mekah selama 13 tahun (fasa pertama), hijrah nabi dan para sahabatnya telah mengeluarkan mereka daripada kebuntuan gerakan dakwah dan ancaman untuk menghapuskan Islam. Setelah berhijrah, nabi telah mendapat kuasa politik dan memimpin sebuah negara Islam yang menuju ke arah kesejahteraan sehinggalah kita yang berada di timur jauh mendapat cahaya dan memperolehi nikmat Islam .
Inilah yang kita harus kenangkan dan bermuhasabah, kerana nikmat yang ada pada kita ini adalah terlalu besar. Kita telah dilahirkan sebagai seorang muslim dan berada di sebuah negara yang majoritinya orang Islam. Kita boleh melaksanakan amalan Islam tanpa halangan yang besar. Namun masih ada lagi tugas yang perlu diselesaikan selagi ada kehidupan iaitu memimpin masyarakat Malaysia kearah melaksanakan sepenuhnya syariat Allah di dalam segala aspek kehidupan. Penyertaan kita di dalam gerakan Islam seperti Parti Islam SeMalaysia adalah satu daripada tugas seorang muslim dalam menegakkan agama Allah. Kita dipimpin oleh ulama' yang bertanggungjawab dan hanya bekerja untuk mendapat keredaan Allah. Kita harus patuh dan wala' setelah kita menyertai dan seterusnya beristiqamah dengan kerja-kerja jemaah.
Pada hari ini marilah kita bermuhasabah kembali mengapa kita berada di dalam sebuah jamaah Islam. Kita menyertai PAS kerana gerakan Islam ini ingin melaksanakan sebuah pemerintahan yang mengikut syariat Islam. Oleh yang demikian kita perlu melaksanakan Islam di dalam diri, keluarga dan masyarakat setempat terlebih dahulu. Dengan kuasa yang ada sedikit ini (Majlis Agama Islam/JKKK) kita mempunyai ruang untuk melakukan tugas dakwah dan memimpin masyarakat untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Marilah kita membina kekuatan dengan menambahkan ilmu dan amal kebajikan supaya kita menjadi golongan yang berjaya di dunia dan akhirat. Selamat menyambut Ma'al Hijrah.

TARBIYYAH

Usrah Cawangan
Tarikh: 17hb Disember 2009 (1 Muharam)
Naqib: Ust Mahdi Abdullah
Tempat: Markas PAS Sg Semambu
Tajuk: Amalan Yang Asas Untuk Masuk Syurga
Teks: Hadith 40 (Hadith ke 22)

Dari Abi Abdullah Bin Abdullah Al-Ansari r.a., bahawasanya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. , Apakah pendapat engkau jika aku sembahyang yang wajib, dan aku puasa Ramadhan, dan aku halalkan yang halal, dan aku haramkan yang haram, dan aku tidak menambahkan suatu atas demikian itu, adakah aku boleh masuk syurga? Jawab Rasul; Ya! (masuk syurga). Diriwayatkan oleh Muslim. (Dan makna aku haramkan yang haram ialah aku jauhinya. Dan aku halalkan yang halal ialah aku mengerjakannya dengan i'tiqad halalnya),
Dari maksud hadith di atas, jika seseorang hanya melakukan perkara-perkara yang wajib atau yang difardukan dan meninggalkan segala larangan Allah tanpa melakukan perkara-perkara yang sunat, pasti dia akan dapat masuk syurga sebagaimana yang dijawab oleh rasulullah s.a.w. dengan tegas. Melaksanakan amalan fardu ain yang asas seperti menunaikan solat lima waktu, berpuasa di dalam bulan Ramadhan, membayar zakat dan haji serta diikuti dengan patuh dengan segala syariat Allah atau hukum-hukum Allah yang ditetapkan dalam al-Quran dan Sunnah, boleh menjamin seseorang itu menjadi ahli syurga. Inilah amalan yang asas untuk dilaksanakan oleh setiap muslim.
Sekiranya ingin mendapatkan maqam yang lebih baik disisi Allah, adalah lebih baik menambahkan amalan dalam perkara-perkara yang disunatkan dan membantu agama Allah dengan menyertai gerakan Islam serta beristiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah sehingga akhir hayat. Ia juga boleh menampung kecatatan dalam amalan-amalan fardu yang dilaksanakan dan lebih hampir kepada Allah.
Wallahua'lam

Sunday, December 13, 2009

TARBIYYAH

Usrah Cawangan
Tarikh: 10hb Disember 2009
Tempat: Markas PAS Cawangan
Naqib: Ust Mahdi
Teks: Hadith 40 (Hadith Yang Ke 21)
Tajuk: Islam Itu Beriman Dan Beristiqamah

Dari Abi Amri r.a. berkata, aku bertanya kepada Rasulullah, Ya Rasulullah, Katakanlah kepadaku tentang Islam, satu perkataan yang tidak akan aku tanyakan lagi daripadanya akan seseorang selain daripada engkau. Sabdanya, "Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah". Diriwayatkan oleh Muslim.
Beriman kepada Allah mewajibkan seseorang itu beramal, taat, tunduk dan patuh kepada Allah sehingga akhir hayat. Ini juga termasuk dalam memperjuangkan Islam. Setiap ahli perlu beristiqamah dalam melaksanakan tugas parti dengan menghadiri program-program dan berusaha membantu kepimpinan menguatkan dan mengembangkan parti. Ahli juga mesti membantu jamaah untuk menang di dalam pilihanraya supaya dapat menguasai pemerintahan dan seterusnya dapat melaksanakan segala hukum-hukum Islam.

Friday, December 4, 2009

Majlis Jamuan Eidil Adha

Semua ahli PAS cawangan dijemput hadir ke Majlis Jamuan Eidul Adha anjuran PAS Kawasan Permatang Pauh yang akan diadakan pada hari Ahad ini, 6hb Disember 2009, bertempat di Dewan Haji Yusof Rawa, Sama Gagah. Majlis ini akan bermula pukul 11.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengahari. Tetamu jemputan khas yang akan hadir ialah Nik Abduh Dato' Nik Aziz, Exco Pemuda PAS Pusat.
PAS Cawangan Sg Semambu akan memberi sumbangan makanan (Kentang goreng dan Nuget), untuk hidangan kepada tetamu semua, insyaAllah.

MESYUARAT PAS CAWANGAN KELIMA

Malam ini telah diadakan mesyuarat PAS Cawangan Sg Semambu bagi kali yang kelima dan yang terakhir pada tahun ini. Seramai 10 orang AJK telah hadir bagi membincangkan hal pentadbiran parti, program terkini dan sedikit hal ehwal PASTI.

Friday, November 27, 2009

SELAMAT MENYAMBUT EIDUL ADHA

PAS Cawangan Sg Semambu mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Eidul Adha kepada seluruh umat Islam khususnya yang berada di Sg Semambu, semoga segala amalan ibadat dan pengorbanan kita untuk jamaah selama ini diterima Allah S.W.T. Kepada yang menunaikan ibadah Haji tahun ini, kami doakan agar mendapat haji yang mambur.

Monday, November 23, 2009

TAKLIMAT ISU SEMASA OLEH TIMBALAN PRESIDEN

Pada hari Ahad yang lepas (22hb November), sebahagian pimpinan PAS Negeri Pulau Pinang, Kawasan dan Cawangan telah berkumpul di markas PAS Padang Menora untuk mendengar taklimat oleh Timbalan Presiden PAS, YB Ust Nasarudin Mat Isa berkenaan dengan hal ehwal semasa. Diantara isu-isu yang diperkatakan ialah memperkasakan tarbiyyah, menangani fitnah yang memperlaga-lagakan pemimpin tertinggi PAS, persiapan pilihanraya kecil Kota Seputeh dan lain-lain hal.

Perjumpaan ini telah berjaya mencapai matlamat untuk memberikan penjelasan dan kedudukan yang sebenarnya tentang beberapa isu yang sedang hangat diperkatakan oleh seluruh masyarakat. Ust Nasarudin mengharapkan seluruh ahli PAS dapat memberikan tumpuan untuk meningkatkan perlaksanaan program-program tarbiyyah kerana inilah yang akan membantu untuk menyatukan fikrah dan menguatkan organisasi jamaah dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

Friday, November 20, 2009

BERITA KEMATIAN

Ayahanda Abu Bakar Bin Abdullah, atau lebih dikenali dengan Pak Long Bakar Kedah meninggal dunia pada waktu Maghrib malam tadi. Almarhum mengidap sakit jantung dan kencing manis dan pulang ke rahmatullah dalam usia 73 tahun.
Almarhum merupakan ahli veteren PAS Cawangan Sg Semambu dan beliau juga diantara kelompok terawal yang menyertai PAS sebelum cawangan ini ditubuhkan 20 tahun yang lalu.

Menurut cerita ahli PAS veteren yang masih hidup, rumah beliau ini pernah diadakan ceramah PAS sekitar tahun 80an dan beliau pernah diboikot kerana aktif dalam PAS. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh beliau dan tergolong di dalam kalangan orang-orang yang soleh. Mudah-mudahan pemergian beliau pada malam Jumaat menjadi tanda amalan soleh beliau diterima Allah S.W.T. Al-Fatihah.



Thursday, November 19, 2009

USRAH GABUNGAN

Tarikh: 19hb November 2009 (Khamis)
Masa: 9.30 malam
Tempat: Sekolah Agama Rakyat Tanah Liat, MK 9
Usrah ini dipimpin oleh Ust Rodzi Razak.
Jumlah kehadiran: 30 orang yang mewakili PAS cawangan Tanah Liat, Sg Semambu, Kg Pelet dan Kubang Semang.
Topik: Pengorbanan
Untuk memantapkan organisasi Parti Islam Semalaysia, tarbiyyahlah yang akan memainkan peranan penting seperti yang telah diperkatakan di dalam Mu'tamar PAS 2009. Usrah adalah kompenen utama dalam perlaksanaan program tarbiyyah. Setiap cawangan wajib menjalankan program usrah sekurang-kurangnya dua minggu sekali yang dipimpin oleh naqib yang berwibawa.
Tiga perkara perlu melalui pentarbiyyahan iaitu, jasad, ruh dan akal. Jasad memerlukan kepada riadah yang konsisten supaya tubuh badan menjadi sihat dan kuat. Latihan-latihan rohani seperti zikir, qiamulail, membaca al-Quran, berpuasa sunat dan sebagainya boleh menguatkan ruh. Manakala akal pula perlu kepada peningkatan ilmu khususnya yang berpandukan kepada wahyu dengan menghadiri majlis-majlis ilmu dan program-program tarbiyyah anjuran jamaah sendiri. Perbanyakkan membaca buku-buku harakah Islam (pergerakan Islam) yang dicadangkan oleh Lajnah Tarbiyyah supaya ahli-ahli dapat memahami konsep perjuangan Islam yang sebenar dan bersedia untuk menghadapi cabaran dan ujian di dalam menegakkan agama Allah.

Sunday, November 15, 2009

MENUNAIKAN FARDU HAJI

Pada hari Jumaat, 13hb November, jam 3.00 petang, Che Abdullah Mat, AJK PAS Cawangan yang juga Ketua Lajnah Tarbiyyah Cawangan, telah berangkat ke Mekah untuk menunaikan fardi Haji.
Che Abdullah dan isteri sedang melangkah keluar dari rumah diiringi bacaan doa dan Azan.

Seluruh AJK PAS Cawangan mengucapkan selamat jalan dan berdoa agar Che Abdullah akan memperolehi Haji Mabrur dan pulang membawa sinar baru untuk perjuangan PAS diperingkat cawangan Sg Semambu

Friday, October 16, 2009

BERITA KEMATIAN

Bapa kepada Ust Mahdi, Ketua PAS Cawangan Sg Semambu telah meninggal dunia pada pukul 2.30 petang tadi di rumah beliau. Allahyarham Abdullah bin Abd Rahman yang telah mencapai umur 90 tahun meninggal kerana sakit tua. Jenazah Al-marhum akan dikebumikan pada malam ini di Masjid Kubang Semang selepas solat Isya',
Seluruh ahli jawatankuasa PAS Cawangan Sg Semambu mengucapkan Takziah kepada Ust Mahdi sekeluarga dan mendoakan semoga Al-marhum tergolong di kalangan orang-orang yang soleh

Sunday, October 11, 2009

HARI MENGUNDI BAGAN PINANG

Hari ini adalah hari pembuangan undi bagi Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan yang mempertandingan calon PAS dengan calon BN. Warga PAS Cawangan Sg Semambu di sini mendoakan kemenangan calon kita, Zulkifly Mohamad Omar.

Saturday, October 3, 2009

PILIHANRAYA KECIL BAGAN PINANG

Hari ini adalah hari penamaan calon Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Hari pengundian akan berlangsung pada 11hb Oktober 2009. PAS Sg Semambu mengucapkan selamat berjuang kepada semua petugas dari seluruh negara yang akan bertugas di dalam kempen pilihanraya ini. Kami mendoakan kemenangan akan dicapai.
Untuk perkembangan terkini PRK Bagan Pinang sila masuk dalam link ini http://prkn31baganpinang.pas.org.my/

Friday, September 25, 2009

MAJLIS JAMUAN KESYUKURAN













Malam tadi telah diadakan jamuan kesyukuran di atas kemenangan PAS di dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir yang lalu di rumah Hj Yaacob Derani, Sg Semambu. Turut hadir di dalam majlis ini ialah YB Ust Mohd Salleh Man, ADUN baru Permatang Pasir.