Friday, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA EIDILFITRI

PAS Cawangan Sungai Semambu mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua ahli dan penyokong khususnya yang berada di Kg Sungai Semambu dan semoga amalan puasa kita diterima Allah S.W.T.

Sunday, August 29, 2010

AMANAT PRESIDEN SEMPENA NUZUL QURAN

Bersempena dengan peristiwa turunnya Al Quran di bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada seluruh ahli dan kepimpinan PAS disegenap lapisan peringkat untuk memanafaatkan baki Ramadhan yang tinggal ini agar ianya diisi dengan amal soleh dan mampu untuk menghampirkan diri kita kepada Allah SWT.

Selain dari itu, saya juga ingin memperingatkan kepada seluruh ahli, petugas dan para pimpinan yang berhadapan dengan masyarakat awam Islam dan bukan Islam agar sentiasa bertindak dengan cermat berdasarkan ilmu yang jelas dan penuh hikmah dalam segala bentuk pertuturan, perancangan, tindakan, pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjalankan amanah kemenangan yang diberi oleh Allah SWT di segenap ceruk dalam negara kita ini.

Janganlah kita bertindak dengan cara yang disangkakan beroleh kebaikan, akan tetapi natijahnya menyebabkan kita sibuk diasak oleh musuh menerusi media yang tidak memihak kepada kita, dan terpaksa pula kita menghabiskan masa untuk menjawab dan mempertahankan sesuatu isu yang ditimbulkan itu.

Sesuatu tindakan yang pada asalnya dibolehkan sekalipun, akan tetapi jika menyebabkan polemik dalam masyarakat, malah merugikan pula dari sudut pandangan siyasah umum, maka lebih baik ianya dielakkan. Apatah lagi dalam tindakan yang boleh mendatangkan fitnah kepada organisasi parti PAS itu sendiri.

Semuanya perlu dipertimbangkan bagi menjaga maslahat umum seperti disebutkan di dalam kaedah fiqh :

Almaslahatul 'ammah muqaddamah 'ala maslahah khasah (Maslahat umum diutamakan dari maslahat khas) dan
Dar'ul mafasid muqaddam 'ala jalbil masalih (menolak keburukan diutamakan daripada mengambil maslahah).

Selagi mana ia bukanlah satu perkara yang bersifat prinsip, atau sesuatu hukum yang qat'i, maka kaedah tersebut perlulah diguna pakai dalam tindakan-tindakan kita sebagai pejuang Islam, termasuklah dalam proses kita memperkasakan parti di peringkat Cawangan dan Kawasan.

Semoga segala tindakan kita sentiasa dipimpin oleh syariat dan mendapat petunjuk dari Allah SWT.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Saturday, August 21, 2010

PUNCA KELEMAHAN UMAT ISLAM

Apakah yang menyebabkan umat Islam menjadi lemah hari ini sedangkan Islam adalah agama yang benar dan dapat memberikan kekuatan sebagaimana yang telah ditempuhi oleh Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya?. Sebelum orang-orang Arab memeluk agama Islam, mereka adalah satu umat yang lemah, suka bergaduh sesama sendiri dan sentiasa berpecah belah. Setelah nabi diutuskan dan banga Arab ini ditarbiyyah dengan ajaran Islam, mereka menjadi umat yang kuat dan mampu menguasai dunia. Walaubagaimanapun, setelah sekian lama berlalu, ajaran Islam yang dipegang semakin lama semakin renggang. Umat Islam menjadi lemah dan kekuatan mereka tidak lagi digeruni. Satu demi satu kerajaan Islam di seluruh dunia runtuh dan digantikan dengan kerajaan yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang cenderung kepada negara barat walaupun mereka beragama Islam.

Sekarang umat Islam berpecahbelah disana sini dengan membentuk negara masing-masing mengikut ideologi barat samada yang pro kapitalis atau sosialis. Kesatuan umat Islam tidak lagi wujud kerana dihalang oleh kepentingan negara masing-masing. Oleh sebab itu, jika sesebuah negara Islam diserang oleh kuasa mustakbirin, negara-negara Islam yang lain hanya mampu menyatakan bantahan dan tidak terdaya untuk membantu dari segi pertahanan. Akhirnya negara yang diserang itu hancur dan ditadbir oleh pemimpin-peminpin boneka yang mengikut telunjuk penjajah seperti yang berlaku kepada Afghanistan dan Iraq sekarang.

Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu kepada sahabat-sahabatnya bahawa suatu masa nanti umat Islam akan menjadi lemah dan tidak mampu untuk melawan orang-orang kafir yang menzalimi mereka walaupun bilangan orang Islam ketika itu ramai. Mereka diibaratkan seperti buih di lautan yang mudah ditiup kemana-mana. Sahabat-sahabat bertanya apakah yang menyebabkan orang-orang Islam ketika itu menjadi sangat lemah. Rasulullah s.a.w. menyatakan puncanya ialah umat Islam mencintai dunia dan takutkan mati.

Apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. itu memang benar dan telah menjadi kenyataan di depan mata kita.

Kebanyakan negara-negara Islam mempunyai sumber-sumber ekonomi yang mewah seperti petroleum, bahan-bahan galian dan hasil pertanian, tetapi ia tidak diuruskan dengan sebaik-baiknya dan banyak terlepas ke negara-negara barat seperti Amerika (petroleum). Kekayaan yang diperolehi pula tidak digunakan untuk membasmi kemiskinan dengan sebaik-baiknya dan membangunkan prasarana pendidikan dan pembangunan insaniah dengan bessungguh-sungguh, tetapi digunakan untuk membina istana-istana mewah, berpesta dan berseronok. Di Iraq, sebelum diserang oleh Amerika, pemimpin-pemimpinnya memiliki istana-istana yang mewah di setiap bandar sedangkan ramai rakyatnya hidup dalam kemiskinan. Apakah serangan Amerika terhadap Iraq beberapa tahun yang lalu merupakan suatu bala dari Allah yang menimpa umat Islam di atas sikap mereka yang mencintai dunia?.

"Berapa banyak penduduk negeri yang telah Kami binasakan kerana mereka zalim, atap negerinya diruntuhkan, beberapa sumur dibiarkan dan istana mewah ditinggalkan" (al-Haj:45).

Kita bimbang umat Islam di seluruh dunia terpengaruh dengan keseronokan dunia dan tenggelam dengan kemewahan sehingga melupakan tanggungjawab mereka yang sebenar iaitu sebagai hamba Allah dan seterusnya menjadi umat contoh.

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (supaya) kamu menyuruh berbuat maaruf dan melarang kemungkaran, serta beriman kepada Allah". (Ali-Imran:110).

Marilah kita bersama-sama menghayati Islam yang sebenar di dalam bulan Ramadhan ini dan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah wajib dan sunat supaya kia boleh menjadi umat yang kuat dan bebas daripada hubbud dunia (cinta kepada dunia). Ramadhan al-Mubarak.

Sunday, June 6, 2010

DATO' SERI ANWAR MELAWAT VETERAN PAS

Dato' Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Permatang Pauh telah menziarahi veteran PAS Sungai Semambu, Tuan Haji Abdul Latef Bin Abdul Aziz yang terlantar uzur di Jalan Kampung Tok Elong, Tanah Liat. Tuan Haji merupakan salah seorang pengasas PAS Cawangan Sungai Semambu. Beliau juga seorang aktivis parti di peringkat negeri yang gigih berjuang di sekitar tahun 80an dan 90an.

Tuesday, March 9, 2010

PERUTUSAN SEMPENA DUA TAHUN PAKATAN RAKYAT

Perutusan Sempena Dua Tahun Pakatan Rakyat Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya,1) Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.2) Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN. 3) Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.4) Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.5) Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang. Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk ”Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami” sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya,Maksudnya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).[al-Hujuraat, 49: 13]Semuga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.
Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,Mursyidul Am PAS,merangkap Menteri Besar Kelantan.22 RabiulAwwal 1431 bersamaan 8 Mac 2010.
Sumber dari Blog Tok Guru

Friday, February 19, 2010

MESYUARAT AGUNG PAS SG SEMAMBU KE 25

Mesyuarat Agung PAS Cawangan Sg Semambu Yang Ke 25 akan diadakan pada hari Sabtu, 27hb Februari 2010, pukul 9.30 malam di PASTI Sg Semmbu. Semua ahli PAS cawangan ini diwajibkan hadir.
Agenda mesyuarat:
1. Mengesahkan Minit Mesyuarat Agung Yang Ke 24.
2. Membentang Dan Menerima Laporan Tahunan Untuk Sessi 2009/2010.
3. Membentang Dan Menerima Laporan Kewangan Yang Berakhir Pada 31hb Disember 2009.
4. Melantik 5 Orang Perwakilan Ke Mesyuarat Agung PAS Kawasan Permatang Pauh.
5. Membahas Usul-Usul.
6. Ucapan Penangguhan.
Setiausaha

Friday, February 12, 2010

PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PAS CAWANGAN









Majlis perasmian mesyuarat agung PAS cawangan-cawangan bagi kawasan Permatang Pauh secara kelompok. Majlis ini diadakan di Dewan Haji Yusuf Rawa, Sama Gagah bermula pukul 9.30 malam dan dirasmikan oleh YB Ust Firdaus Jaafar, ahli parlimen Jerai, Kedah.

USRAH GABUNGAN




Usrah gabungan telah diadakan malam tadi (Khamis malam Jumaat), bertempat di Markas PAS Kubang Ulu. Usrah ini dipimpin oleh Ust Badrul Abd Rahman. Usrah pada kali ini membincang mengenai tanggungjawab ahli PAS dalam memelihara jamaah.

Thursday, February 4, 2010

MESYUARAT PAS CAWANGAN YANG KEENAM

Malam ini akan diadakan mesyuarat Jawatankuasa PAS Cawangan Sg Semambu Kali Yang Ke 6 bagi sessi 2009/2010. Ini merupakan mesyuarat yang terakhir bagi sessi ini. Selepas ini akan diadakan mesyuarat agung tahunan iaitu pada hujung bulan Februari ini. Tarikh mesyuarat agung ini akan ditetapkan pada mesyuarat malam ini.

Friday, January 1, 2010

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2010

Assalamualaikum Wrt. Wbt.

Hari ini bermulalah satu lagi lembaran hidup manusia iaitu ketibaan tahun baru masihi 2010. Ramai yang ingin memperbaharui tekad dan keazaman dalam tahun baru ini untuk mencapai matlamat hidup masing-masing. Bagi kita pejuang Islam, matlamat kehidupan tetap sama sampai bila-bila tetapi peningkatan amal dan keikhlasan perlu diusahakan lagi dari masa ke semasa. Tahun 2009 telah meninggalkan kita dan terdapat beberapa pencapaian yang membanggakan sepanjang tahun yang lalu. Yang terutama sekali ialah kejayaan di dalam pilihanraya kecil N.11 Permatang Pasir dimana PAS cawangan Sg Semambu berada di dalam kawasan DUN ini. Kita telah berjaya mempertahankan kerusi DUN ini yang telah dipegang selama 3 penggal. Tahniah kepada semua para petugas dari cawangan ini yang telah banyak berkorban harta, tenaga dan masa semata-mata untuk mengekalkan kerusi ini di tangan calon PAS. Kemenangan ini sangat bermakna kerana ia masih mengekalkan momentum kejayaan pilihanraya umum 2008. Semangat dan sokongan masih lagi kekal setelah dua tahun berlalu. Kejayaan ini juga mendapat perhatian daripada pengkaji dan pemerhati politik, apakah rahsia yang membolehkan PAS mendapat majoriti yang besar berbanding dengan pilihanraya kecil di tempat lain yang kesemuanya menang dengan majoriti yang tipis. Sebuah badan pengkaji politik sedang membuat kajian tentang perkara ini dan mereka telah melakukan soal selidik kepada semua petugas pilihanraya di DUN Permatang Pasir termasuk di cawangan Sg Semambu. Mereka ingin jawapan yang tepat apakah faktor-faktor yang membuatkan kemenangan besar ini terus berkekalan. Apakah kerana faktor jentera pilihanraya atau ahli-ahli yang komited atau pengaruh Anwar Ibrahim masih kuat atau kerana faktor lain yang masih belum dikenalpasti. Inilah keunikan yang berlaku di DUN Permatang Pasir, Parlimen Permatang Pauh.
Walau apapun sebab musabab kemenangan ini, semuanya datang dari Allah S.W.T. kerana Dialah yang menganugerahkan semua kemenangan perjuangan Islam. Kita menerima anugerah ini dengan penuh rasa syukur dan tawadu'. Janganlah kita terleka dan merasa besar diri di atas nikmat ini kerana ia mungkin akan ditarik balik. Oleh kerana kita telah mendapat sokongan dengan majoriti yang besar, kita janganlah mendabik dada. Ingatlah peristiwa perang Hunain, di zaman rasulullah s.a.w.,
"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (mencapai kemenangan) dalam banyak medan-medan peperangan dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab jumlah bilangan kamu yang ramai, maka jumlah yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. Kemudian Allah menurunkan semangat ketenteraman kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta ia menyiksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran), dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir". (At-Taubat:25-26).
Peristiwa perang Hunain berlaku selepas pembukaan kota Mekah dan di kala itu jumlah orang Islam telah menjadi semakin ramai. Sebelum pertempuran bermula, tentera Islam merasa yakin untuk menang setelah melihat bilangan musuh terlalu sedikit. Mereka telah membicarakan soal harta ghanimah dan memperlekehkan kekuatan musuh. Apabila pertempuran berlaku, tentera musuh telah membuat kejutan dengan menewaskan barisan hadapan tentera Islam dan mereka terpaksa berundur. Keadaan telah menjadi kucar kacir. Kemudian Allah memberikan ketenangan kepada Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya dan memberikan semangat jihad yang sebenar kepada mereka. Akhirnya setelah tersedar dengan kesilapan di peringkat awal, tentera Islam terus menggempur musuh dan mencapai kemangan dengan pertolongan tentera Malaikat.
Peristiwa ini memberi pengajaran kepada kita supaya sentiasa bersifat tawadu' walaupun berada di dalam zon kemenangan. Program-program jamaah perlu dijalankan seperti biasa khususnya tarbiyyah dan kebajikan. Persiapan menghadapi pilihanraya umum yang akan datang perlu digerakkan dan kerjasama hendaklah diberikan kepada PAS Kawasan dan MTD Permatang Pasir yang akan beroperasi pada awal tahun ini, insyaAllah. Firman Allah dalam surah al-Insyirah,
"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal yang lain). Dan kepada tuhanmu hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)". (Al-Insyirah:7-8).
Sekian. Selamat tahun baru.