Sunday, December 20, 2009

MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN KELENGKAPAN SEKOLAH

Hari ini telah diadakan Majlis Penyerahan Bantuan Kelengkapan Sekolah kepada murid-murid yang terpilih termasuklah 25 orang dari Sg Semambu. Majlis ini diadakan di Pejabat DUN Permatang Pasir

Friday, December 18, 2009

SALAM MA'AL HIJRAH

Hari ini (1hb Muharam 1431H), adalah hari ulangtahun berlakunya peristiwa hijrah 1431 tahun yang lalu. Peristiwa besar ini merupakan titik permulaan untuk fasa kedua perkembangan agama Islam yang dibawa oleh junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Setelah bergelumang dengan berbagai-bagai kesulitan dan penderitaan dalam menyebarkan ajaran Islam di Mekah selama 13 tahun (fasa pertama), hijrah nabi dan para sahabatnya telah mengeluarkan mereka daripada kebuntuan gerakan dakwah dan ancaman untuk menghapuskan Islam. Setelah berhijrah, nabi telah mendapat kuasa politik dan memimpin sebuah negara Islam yang menuju ke arah kesejahteraan sehinggalah kita yang berada di timur jauh mendapat cahaya dan memperolehi nikmat Islam .
Inilah yang kita harus kenangkan dan bermuhasabah, kerana nikmat yang ada pada kita ini adalah terlalu besar. Kita telah dilahirkan sebagai seorang muslim dan berada di sebuah negara yang majoritinya orang Islam. Kita boleh melaksanakan amalan Islam tanpa halangan yang besar. Namun masih ada lagi tugas yang perlu diselesaikan selagi ada kehidupan iaitu memimpin masyarakat Malaysia kearah melaksanakan sepenuhnya syariat Allah di dalam segala aspek kehidupan. Penyertaan kita di dalam gerakan Islam seperti Parti Islam SeMalaysia adalah satu daripada tugas seorang muslim dalam menegakkan agama Allah. Kita dipimpin oleh ulama' yang bertanggungjawab dan hanya bekerja untuk mendapat keredaan Allah. Kita harus patuh dan wala' setelah kita menyertai dan seterusnya beristiqamah dengan kerja-kerja jemaah.
Pada hari ini marilah kita bermuhasabah kembali mengapa kita berada di dalam sebuah jamaah Islam. Kita menyertai PAS kerana gerakan Islam ini ingin melaksanakan sebuah pemerintahan yang mengikut syariat Islam. Oleh yang demikian kita perlu melaksanakan Islam di dalam diri, keluarga dan masyarakat setempat terlebih dahulu. Dengan kuasa yang ada sedikit ini (Majlis Agama Islam/JKKK) kita mempunyai ruang untuk melakukan tugas dakwah dan memimpin masyarakat untuk mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
Marilah kita membina kekuatan dengan menambahkan ilmu dan amal kebajikan supaya kita menjadi golongan yang berjaya di dunia dan akhirat. Selamat menyambut Ma'al Hijrah.

TARBIYYAH

Usrah Cawangan
Tarikh: 17hb Disember 2009 (1 Muharam)
Naqib: Ust Mahdi Abdullah
Tempat: Markas PAS Sg Semambu
Tajuk: Amalan Yang Asas Untuk Masuk Syurga
Teks: Hadith 40 (Hadith ke 22)

Dari Abi Abdullah Bin Abdullah Al-Ansari r.a., bahawasanya seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. , Apakah pendapat engkau jika aku sembahyang yang wajib, dan aku puasa Ramadhan, dan aku halalkan yang halal, dan aku haramkan yang haram, dan aku tidak menambahkan suatu atas demikian itu, adakah aku boleh masuk syurga? Jawab Rasul; Ya! (masuk syurga). Diriwayatkan oleh Muslim. (Dan makna aku haramkan yang haram ialah aku jauhinya. Dan aku halalkan yang halal ialah aku mengerjakannya dengan i'tiqad halalnya),
Dari maksud hadith di atas, jika seseorang hanya melakukan perkara-perkara yang wajib atau yang difardukan dan meninggalkan segala larangan Allah tanpa melakukan perkara-perkara yang sunat, pasti dia akan dapat masuk syurga sebagaimana yang dijawab oleh rasulullah s.a.w. dengan tegas. Melaksanakan amalan fardu ain yang asas seperti menunaikan solat lima waktu, berpuasa di dalam bulan Ramadhan, membayar zakat dan haji serta diikuti dengan patuh dengan segala syariat Allah atau hukum-hukum Allah yang ditetapkan dalam al-Quran dan Sunnah, boleh menjamin seseorang itu menjadi ahli syurga. Inilah amalan yang asas untuk dilaksanakan oleh setiap muslim.
Sekiranya ingin mendapatkan maqam yang lebih baik disisi Allah, adalah lebih baik menambahkan amalan dalam perkara-perkara yang disunatkan dan membantu agama Allah dengan menyertai gerakan Islam serta beristiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah sehingga akhir hayat. Ia juga boleh menampung kecatatan dalam amalan-amalan fardu yang dilaksanakan dan lebih hampir kepada Allah.
Wallahua'lam

Sunday, December 13, 2009

TARBIYYAH

Usrah Cawangan
Tarikh: 10hb Disember 2009
Tempat: Markas PAS Cawangan
Naqib: Ust Mahdi
Teks: Hadith 40 (Hadith Yang Ke 21)
Tajuk: Islam Itu Beriman Dan Beristiqamah

Dari Abi Amri r.a. berkata, aku bertanya kepada Rasulullah, Ya Rasulullah, Katakanlah kepadaku tentang Islam, satu perkataan yang tidak akan aku tanyakan lagi daripadanya akan seseorang selain daripada engkau. Sabdanya, "Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah". Diriwayatkan oleh Muslim.
Beriman kepada Allah mewajibkan seseorang itu beramal, taat, tunduk dan patuh kepada Allah sehingga akhir hayat. Ini juga termasuk dalam memperjuangkan Islam. Setiap ahli perlu beristiqamah dalam melaksanakan tugas parti dengan menghadiri program-program dan berusaha membantu kepimpinan menguatkan dan mengembangkan parti. Ahli juga mesti membantu jamaah untuk menang di dalam pilihanraya supaya dapat menguasai pemerintahan dan seterusnya dapat melaksanakan segala hukum-hukum Islam.

Friday, December 4, 2009

Majlis Jamuan Eidil Adha

Semua ahli PAS cawangan dijemput hadir ke Majlis Jamuan Eidul Adha anjuran PAS Kawasan Permatang Pauh yang akan diadakan pada hari Ahad ini, 6hb Disember 2009, bertempat di Dewan Haji Yusof Rawa, Sama Gagah. Majlis ini akan bermula pukul 11.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengahari. Tetamu jemputan khas yang akan hadir ialah Nik Abduh Dato' Nik Aziz, Exco Pemuda PAS Pusat.
PAS Cawangan Sg Semambu akan memberi sumbangan makanan (Kentang goreng dan Nuget), untuk hidangan kepada tetamu semua, insyaAllah.

MESYUARAT PAS CAWANGAN KELIMA

Malam ini telah diadakan mesyuarat PAS Cawangan Sg Semambu bagi kali yang kelima dan yang terakhir pada tahun ini. Seramai 10 orang AJK telah hadir bagi membincangkan hal pentadbiran parti, program terkini dan sedikit hal ehwal PASTI.